Melaka: Pengurus sebuah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM200 kepada seorang inspektor polis bagi mengelak tindakan kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dua tahun lalu.
Tertuduh Go Seh Po, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan dalam prosiding didengar Hakim Elesabet Paya Wan. Mengikut pertuduhan dia dituduh memberi suapan wang tunai RM200 kepada Inspektor G Gunaaseellan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memandu dalam pengaruh alkohol melebihi kadar yang dibenarkan mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di Bandar Jasin Bestari pada 31 Disember 2021, 11.35 pagi.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Syakila Yaacob menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah. Hakim menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin, pasport untuk diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka satu bulan sekali sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun depan bagi serahan dokumen. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT