Unik, kelakar dan bersahaja menjadi kekuatan The Dollah. Dengan gabungan Tiktokers popular iaitu Wanchai, Farihinarnia, Yeet, Adam Bakery dan Black, The Dollah melancarkan lagu parodi Raya Raya Raya nyanyian asal Dolla berjudul Raya Raya Raya 2.0.
Raya Raya Raya 2.0 tercetus apabila FYP Media dan Universal Music Malaysia tertarik dengan personaliti lima pempengaruh itu yang sering tampil dengan watak happy go lucky dan kelakar. Lima jejaka yang masih baharu dalam dunia industri mengakui cabaran untuk bergelar seorang selebriti sangat besar, terutama sekali ketika menyiapkan video muzik pada bulan Ramadan. “Kami melalui pengalaman baharu dan mencabar apabila pertama kali menjalani penggambaran video muzik. “Lebih memenatkan apabila kami harus melengkapi penggambaran video muzik pada bulan puasa. “Namun, alhamdulillah dengan adanya krew, kami dapat jayakan video muzik Raya Raya Raya 2.0,” kata Wanchai selaku anggota tertua dalam The Dollah.
Dalam pada itu, The Dollah memilih konsep parodi kerana mereka sangat meminati dan terpengaruh dengan cara penyampaian daripada kumpulan pemuzik Senario. “Kami sangat meminati lagu Dolla dan kebetulan Raya Raya Raya trending pada tahun 2021. “Semasa lepak kami sering menyanyikan lagi tersebut dan terfikir mahu parodikan mengikut cara Senario untuk sampaikan secara hiburan,” ujarnya. Biarpun hanya Adam Bakery yang merupakan anak Perak, The Dollah tetap menyuntik loghat negeri yang terkenal dengan labu sayong dalam Raya Raya Raya 2.0. “Sewaktu proses rakaman, kami sengaja menyanyi dengan gaya tersendiri dan saya cuba buat dalam loghat Perak. “Dengar macam okey dan akhirnya semua bersetuju mahu gunakan loghat Perak dalam lagu ini. “Mereka semua pula sudah terbiasa kerana sewaktu lepak kami sering bercakap dalam loghat Perak,” ujar adik kepada pempengaruh dan pelakon Ryan Bakery. Ditebak mengenai pencapaian Ryan yang turut melancarkan lagu raya berjudul Raya Last Minit, Wanchai tidak menganggap dia sebagai pesaing, sebaliknya berbangga melihat pencapaian sahabatnya itu. “Kawan yang bangsat adalah sahabat yang dengki dengan pencapaian rakannya sendiri. “Saya bangga apabila individu yang saya anggap sebagai kawan dahulu kini seperti keluarga sedang meningkat naik. “Jadi, kami saling bantu-membantu jika ada permasalahan walaupun seorang daripada kami berada di atas,” tutupnya. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT