Malindi, Kenya: Pemimpin kultus di Kenya, Paul Mackenzie yang terbabit dalam kes ajaran sesat dikatakan memberitahu pengikutnya bahawa dunia akan berakhir pada 15 April dan syaitan akan memerintah selama 1,000 tahun, menurut saudara-mara dan penyiasat kanan polis.
Dia memerintahkan pengikutnya dan anak-anak mereka untuk berlapar sehingga mati supaya mereka dapat bertemu Tuhan di syurga sebelum tarikh itu, kata mereka. "Saya mendengar suara Tuhan memberitahu saya bahawa kerja dakwah untuk menyampaikan mesej akhir zaman selama sembilan tahun telah berakhir," kata Mackenzie dalam video yang disiarkan di YouTube pada bulan Mac. "Saya mengikut suara yang memberitahu saya bahawa saya telah menyelesaikan kerja." Beberapa minggu kemudian, pengikutnya menjadi tumpuan negara dengan penemuan lebih 100 mayat kebanyakannya kanak-kanak di kubur besar di hutan Shakahola di tenggara Kenya, pada akhir April.
Mackenzie, 50, berada dalam tahanan polis dan masih belum membuat pengakuan terhadap sebarang pertuduhan berkaitan kubur besar itu, yang masih digali. Dua peguam yang mewakilinya enggan mengulas lanjut. Reuters telah mengumpulkan gambar komprehensif Mackenzie dan kultusnya daripada rekod mahkamah dan temu bual dengan 10 orang yang mempunyai pengetahuan tentang kumpulan itu, termasuk saudara-mara mangsa, pekerja perubatan yang merawat berpuluh-puluh mangsa yang terselamat dan penyiasat polis, yang terlibat dalam kes yang sedang berjalan. Mackenzie merancang kebuluran besar-besaran ahli kultus dalam tiga fasa: kanak-kanak dalam kumpulan pertama, diikuti wanita dan lelaki muda. Kumpulan terakhir yang tinggal adalah beberapa lelaki termasuk dirinya sendiri, menurut enam orang termasuk penyiasat, yang enggan dinamakan kerana butiran sulit. Penyiasat itu juga berkata Mackenzie menafikan bahawa dia memberitahu pengikutnya supaya berlapar. Empat saudara mara mangsa menggambarkan Mackenzie sebagai seorang yang berkuasa yang telah memisahkan pengikutnya daripada keluarga dan masyarakat melalui ajarannya yang melampau. Dia melarang mereka daripada menghantar anak-anak ke sekolah dan daripada pergi ke hospital apabila mereka sakit, menjenamakan institusi tersebut sebagai syaitan, kata mereka. Wanita diarahkan untuk memotong rambut mereka dengan sangat pendek dan dilarang mengenakan solekan. "Pendidikan itu jahat," kata Mackenzie dalam satu video ceramahnya yang disiarkan pada Mac. Sumber: Harian Metro
|
mojarean_X replied at 4-5-2023 09:48 PM
Iols x pelik sbb tgk apa terjadi pd Turkey. Lps ni Bailtulmaqdis ditawan. Lepas tu mudahlah raja ter ...
ADVERTISEMENT