Gua Musang: Terletak di sempadan Gua Musang dan Kuala Krai, perkampungan Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir turut terkesan dengan suhu tinggi yang melanda daerah Kuala Krai. Difahamkan, tiada hujan di perkampungan itu sejak tiga minggu lalu dan semalam adalah kali pertama hujan dalam tempoh terbabit.
Penduduk, Maria Manggis, 63, berkata dia mengambil peluang menadah air hujan sebagai simpanan untuk memasak kerana cuaca panas sejak tiga minggu lalu hingga menyebabkan tangki simpanan air sudah kering. "Keadaan cuaca yang panas dan kering menyebabkan tangki simpanan air semakin berkurangan. Jadi penduduk membuat persediaan dengan membeli air mineral di kedai untuk memasak dan minum. "Kesan peningkatan suhu ini sangat terasa buat kami yang sepenuhnya menggunakan air tandak. Suhu pada tengah hari mencecah sehingga 34 darjah selsius, namun petang (semalam) hujan lebat," katanya.
Penduduk lain Hamzah Pucuk, 60, berkata cuaca panas menyebabkan penduduk terpaksa mengehadkan aktiviti mereka untuk ke kebun. Katanya, setiap hari mereka hanya melakukan kerja sehingga 11 pagi sahaja kerana tidak mahu terdedah dengan cuaca panas. "Cuaca ketika ini sudah tidak macam dulu. Air dalam bukit pun sudah jadi kering sehingga kita pun susah nak mandi. "Kami berharap ada pihak sudi menyalurkan bantuan bekalan air bersih terutamanya untuk kami minum dan memasak," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT