New York: Bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs, Roger Ng meminta hakim menangguhkan permulaan hukuman penjara 10 tahun kerana peranannya dalam penipuan global membabitkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan berkata, dia memerlukan tiga bulan untuk membenarkan isteri dan anak perempuannya tiba di New York dari Malaysia, lapor Bloomberg.
Hakim Margo Brodie menjatuhkan hukuman itu kepada Ng pada 9 Mac dan memerintahkannya menyerah diri kepada pegawai penjara persekutuan pada 4 Mei. Peguam pembelanya, Marc Agnifilo pada Jumaat meminta mahkamah membenarkan Ng menangguhkan hukuman penjara itu sehingga Ogos. Agnifilo berkata, Ng tidak pernah melihat anak perempuannya, yang kini berusia 10 tahun, selama lebih empat tahun – sejak dia ditangkap di Malaysia pada 2018. Ng, yang bersetuju untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi perbicaraan di New York pada awal 2019, juga menghadapi pendakwaan di Malaysia sebaik sahaja dia dibebaskan, kata Agnifilo.
"Disebabkan tempoh masa yang Ng habiskan dengan anak kecilnya, dan tempoh hukumannya, kami dengan hormatnya memohon supaya Ng dapat menghabiskan dua bulan bersama keluarganya sebelum dia menyerah diri," kata Agnifilo. Peguam itu berhujah bahawa anak guamnya bebas dalam tahanan rumah dan pemantauan elektronik sejak majistret persekutuan di Brooklyn bersetuju membebaskannya dengan jaminan AS$20 juta (kira-kira RM89 juta) pada Mei 2019, dan tidak pernah melanggar syarat pembebasannya. Agnifilo berkata, pendakwa raya membantah penangguhan itu. John Marzulli, jurucakap kepada Peguam Daerah Brooklyn Amerika Syarikat, Breon Peace, enggan mengulas mengenai permintaan Ng. Sumber: HARIAN METRO
|
ADVERTISEMENT