Operasi mencari sejumlah mangsa pembunuhan seorang dukun ‘pengganda duit’ di Banjarnegara, Jawa Tengah masih diteruskan polis Indonesia. Proses tersebut difahamkan dibantu pasukan sukarelawan dengan menggali beberapa kubur besar yang dipercayai menempatkan puluhan mangsa dibunuh Slamet Tohari.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul, polis menerima sebanyak 28 orang hilang dengan 22 ahli keluarga membuat laporan mengenai saudara mereka yang hilang. Terdahulu, polis sudah menemukan 12 mayat dalam satu kubur besar dan menerusi operasi pencarian selepas suspek memaklumkan terdapat 16 lagi mangsa dibunuhnya. “Sepanjang proses soal siasat dilakukan, suspek menceritakan tentang pembunuhan yang dilakukannya, selain dia juga dibawa ke beberapa lokasi yang dipercayai dijadikan tempat untuk menanam mangsa yang dibunuh.
“Terdapat beberapa kubur besar dan sehingga kini, polis masih melakukan proses penggalian untuk mengeluarkan mayat-mayat mangsa,” kata Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto kepada Kompas.com. Seorang ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Hidayat memberitahu, abangnya, Mulyadi menjadi mangsa bunuh suspek selepas dia berdepan dengan masalah kewangan. Katanya, keluarganya sudah berulang kali mengingatkan Mulyadi supaya tidak mempercayai suspek yang boleh menggandakan duit, namun mangsa enggan mengendahkan nasihat tersebut. “Adalah mustahil boleh gandakan duit secara ghaib, namun abang saya tetap percayakan Slamet sebelum dia tiba-tiba hilang dan kami buat laporan polis. “Selepas kes ini dibongkar, kami akhirnya mengetahui abang saya sudah tiada akibat dibunuh Slamet,” ujarnya. Mulyadi dipercayai dibunuh Slamet pada 2021 dan cebisan giginya ditemukan dalam satu kubur besar berhampiran kawasan kebun. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT