Seorang penceroboh bukan sahaja mengejutkan tetamu di sebuah hotel empat bintang dekat United Kingdom (UK), malah dia menanggalkan pakaian dan baring di katil dengannya. Metro UK melaporkan, Mason Sanders menginap di Hotel Hunton Park di Abbots Langley, Hertfordshire kerana rumahnya sedang diubah suai.
Dia sebelum ini menginap di hotel bajet tetapi memutuskan untuk 'memanjakan' dirinya dengan menempah bilik dilengkapi katil berkembar yang berharga 60 Pound Sterling (kira-kira RM334) semalam. Awal pagi keesokannya, Mason, 24, menyangka pasangannya yang baring di sebelah, namun terperanjat apabila menyedari individu terbabit adalah orang tidak dikenali. Pengurus kedai itu mendakwa individu tidak dikenali diberikan kunci biliknya yang membolehkannya masuk kira-kira jam 3.50 pagi pada 17 Mac lalu. "Saya hulurkan tangan kerana menyangka pasangan saya ada di sebelah. Rupa-rupanya, orang itu adalah lelaki mabuk yang masuk dengan tiba-tiba.
"Saya kemudian menjerit sebelum individu terbabit melompat dan berlari ke bilik mandi, mengambil pakaiannya kemudian berlari keluar dengan masih memakai seluar dalam," katanya. Mason kemudian turun ke kaunter penyambut tetamu untuk bertanya sebelum kakitangan mengesahkan lelaki itu diberikan kunci bilik tanpa banyak soal. Dia mengemukakan aduannya kepada pihak pengurusan pada waktu pagi tetapi ditawarkan ganti rugi yang tidak setimpal. Berikutan itu, Mason nekad memfailkan saman terhadap Countrywide Hotels berhubung insiden itu. "Di mana langkah perlindungan atau keselamatan untuk melindungi tetamu? "Lelaki boleh terdedah sama seperti wanita dalam senario seperti ini, tetapi hotel enggan mengambil serius aduan saya. "Ia adalah pengalaman yang ngeri, dan sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT