Seorang lelaki semalam ditahan di Sri Lanka selepas memberi maklumat palsu mengenai serangan bom. Lelaki berusia 21 tahun itu mendakwa serangan bom berkenaan akan berlaku di Akurana, kawasan majoriti Islam di negara Asia Selatan itu.
Menurut kenyataan polis, suspek menghubungi sistem aduan kecemasan dalam talian pada 19 April tanpa mendedahkan identitinya dan memberikan maklumat palsu mengenai ancaman bom di masjid di Akurana ketika solat jemaah akhir Ramadan lalu. Berdasarkan maklumat, pasukan unit khas polis dikerahkan ke Akurana bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu. Maklumat palsu itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan semasa perayaan Aidilfitri. Sehubungan itu, polis memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan meningkatkan langkah keselamatan di semua masjid yang akan mengadakan upacara untuk sambutan perayaan itu di Sri Lanka.
Pasukan keselamatan Sri Lanka meningkatkan langkah keselamatan pertubuhan agama ketika semua perayaan keagamaan utama berikutan serangan sempena Ahad Paskah pada April 2019 di mana lebih 260 orang terbunuh. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT