Pelawak dan pelakon, Zizan Razak teruja dan berdebar menantikan maklum balas daripada penonton untuk telefilem Heistdilfitri arahan pertamanya yang akan ditayangkan pada hari raya kedua nanti.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 39, berkata, sekarang adalah masanya untuk dia menerokai bidang baru sebagai pengarah selepas lebih sedekad berkecimpung dalam karier seni. "Saya dah lama dalam industri, termasuk banyak filem sudah dilakonkan bersama pengarah terkenal seperti Ghaz Abu Bakar, Syamsul Yusof, Syafiq Yusof dengan ramai lagi. Jadi, saya melihat cara mereka bekerja di lokasi dan menimba ilmu. "Alhamdulillah, sekarang saya pula sudah menjadi pengarah dan syukur juga dapat bekerja dengan Issey Fazlisham sebagai pengarah bersama untuk projek telefilem sulung kami," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu, Zizan ditemui pada sidang media telefilem Heistdilfitri secara virtual yang juga dihadiri Issey dan pelakon Shiqin Kamal sebagai watak utama dalam kisah 'rompakan' malam raya oleh tiga perompak yatim piatu yang mempunyai impian beraya dalam sebuah keluarga.
Mengulas juga mengenai cabaran, Zizan berkata, paling utama dihadapi ialah kekangan masa kerana dia mendapat idea untuk menghasilkan telefilem Heistdilfitri itu secara tiba-tiba ketika lepak bersama Issey. "Kami merancang semuanya dengan penulis skrip dan memilih pelakon dalam masa singkat selepas stesen TV berminat dengan idea yang dibentangkan. Selain itu, jadual penggambaran juga banyak dilakukan pada waktu malam hingga ke pagi.
|
ADVERTISEMENT