Berpantang maut sebelum ajal. Penyerang Lazio dan Itali, Ciro Immobile hanya luka di tangan dan mungkin patah bahu selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya, remuk bertembung dengan trem.
Laporan di Itali menyatakan pemain berusia 33 tahun itu yang meledak 194 gol dalam 289 penampilan bersama Lazio itu dalam keadaan baik, namun mengalami luka di tangan dan mungkin patah bahu. Ketika kejadian, Immobile memandu berhampiran Ponte Matteotti, kira-kira lima minit dari Stadium Olympico apabila trem terbabit melanggar lampu merah dan menghentam SUV dipandunya. Immobile dan dua anak perempuannya berada dalam kenderaan ketika insiden berkenaan selain penumpang yang berada dalam trem. Kedua-duanya anaknya juga hanya mengalami kecederaan ringan. Berdasarkan video yang tular di media sosial, Immobile berkata: "Saya cuba mengelak ke sebelah kiri, sebab itulah kereta dilanggar hanya pada satu sudut.'
"Trem terbabit melanggar lampu merah tetapi buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa. Lengan saya sakit sedikit." Saksi kemalangan itu mengesahkan dakwaan Immobile di mana trem itu tidak mematuhi lampu isyarat merah yang menyebabkan kenderaan penyerang itu rosak teruk. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT