Mayat seorang bayi lelaki berusia 10 bulan ditemui terapung di Kali Kandang Gede, Bakung, di Kronjo, Tangerang selepas dicampak ibunya berusia 38 tahun pada 3 April lalu. Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Tangerang, Kombes Pol Sigit Dany Setiyono berkata, wanita itu tergamak bertindak demikian kerana tidak tahan mendengar tangisan bayinya setiap hari selain tertekan akibat keletihan melakukan kerja rumah ditambah faktor ekonomi.
"Ia juga disebabkan oleh ketiadaan suami yang bekerja di Jakarta dan sudah beberapa hari tidak dapat dihubungi," tambah Sigit dipetik mStar dari TribunMedan. Suspek mendakwa anaknya itu menangis tanpa sebab yang jelas menyebabkan dia geram dan marah sehingga terdengar 'bisikan' untuk membuang anaknya ke dalam sungai. Suspek bagaimanapun tersedar selepas mencampak bayinya ke dalam sungai dan cuba menyelamatkan mangsa, namun air semakin deras dan anaknya terus dihanyutkan.
Tambah Sigit, hasil pemeriksaan atau penilaian psikologi bagi menentukan keadaan mentalnya, suspek didapati sihat dari segi psikologi dan boleh menjawab soalan. Bagi kesalahannya itu, dia berdepan akta perlindungan kanak-kanak dan boleh dihukum penjara 15 tahun jika sabit bersalah. - CARI
|
ADVERTISEMENT