Seorang YouTuber antara tiga rakyat Britain ditahan Taliban di Afghanistan. Jurucakap Presidium Network, Scott Richards mengesahkan penahanan tiga individu itu di Twitter, kelmarin, selepas berhubung dengan keluarga mangsa.
Katanya, seorang daripada mereka ialah YouTuber, Miles Routledge, 23, serta seorang lagi didakwa sebagai pelancong, dipercayai ditahan Taliban sejak Januari lalu. "Kami percaya mereka berada dalam keadaan sihat dan dilayan dengan baik. "Kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai mereka tertakluk kepada sebarang layanan negatif seperti penyeksaan dan kami diberitahu mereka boleh dijangkakan dalam keadaan sedemikian," katanya kepada Sky News. Kumpulan itu turut menggesa Taliban untuk mempertimbangkan perkara itu sebagai salah faham dan membebaskan mangsa. Sementara itu, Kementerian Luar Britain berkata, pihaknya akan membantu keluarga mengharungi cabaran ini.
"Kami bekerja keras untuk mendapatkan hubungan konsular dengan warga Britain yang ditahan di Afghanistan, malah kami membantu keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan. Laporan media menamakan mangsa, doktor, Kevin Cornwell, 53, pengurus hotel yang tidak dinamakan untuk pekerja bantuan dan bintang YouTube, Routledge yang popular dengan saluran Lord Miles. Tujuh bulan lalu, saluran itu menyiarkan video dengan keterangan 'Saya pergi menembak dengan Taliban'. Sumber: HARIAN METRO
|
ADVERTISEMENT