Insiden letupan di sebuah kafe di Saint Petersburg pada Ahad membunuh penulis blog tentera terkenal Rusia. Mangsa dikenali sebagai Vladlen Tatarsky atau nama sebenarnya Maxim Fonim merupakan salah seorang pempengaruh dan penulis blog tentera yang terkenal dan lantang dalam menyuarakan krtikan terhadap konlfik Rusia dan Ukraine.
Tatarsky dilaporkan terbunuh dalam insiden itu yang dikaitkan dengan bahan letupan. Sebuah laman web St Petersburg berkata, letupan itu berlaku di sebuah kafe yang pernah menjadi milik Yevgeny Prigozhin, pengasas tentera peribadi Wagner yang berjuang untuk Rusia di Ukraine. Agensi berita RIA juga mengesahkan 25 individu cedera dalam insiden letupan itu di Street Food Bar No 1. Pada September lalu, Tatarsky menjadi antara ratusan individu yang hadir ke majlis mewah di Kremlin yang meraikan pengisytiharan taklukan Rusia ke atas empat wilayah di Ukraine.
Majlis tersebut turut mendapat kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap sebagai langkah haram. Jika Tatarsky sengaja dijadikan sasaran dalam insiden tersebut, maka dia menjadi individu Rusia kedua terbunuh sebagai sasaran dalam konflik Rusia-Ukraine. Sebelum ini, Perkhidmatan Persekutuan Rusia menuduh perisikan rahsia Ukraine membunuh anak perempuan Nasionalis Rusia, Darya Dugina dalam sebuah serangan bom kenderaan di Moscow. Presiden Vladimir Putin menganggap insiden pembunuhan Dugina sebagai kelakuan jahat. Bagaimanapun, Ukraine menafikan penglibatan dalam serangan bom pada Ogos lalu. Sumber: AWANI
|
ADVERTISEMENT