CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Kehilangan Biodiversiti Jejas Ekonomi, Kestabilan Kewangan - BNM

2-4-2023 11:36 AM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 6723| Komen: 1|Original author: Tatod

Sumber asli seperti minyak dan kayu balak dan perkhidmatan ekosistem yang amat banyak, termasuk tanah subur dan air bersih, menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negara, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).


Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, BNM menyebut, pengeluaran dan penggunaan secara berlebihan lama-kelamaan boleh menghakis sumber serta memudaratkan masyarakat dan ekonomi.

Menurutnya, kegiatan pembangunan ekonomi yang berlebihan juga boleh menyebabkan kemerosotan perkhidmatan ekosistem.


Katanya, kegiatan itu termasuk penebangan hutan, pencemaran, penangkapan ikan secara berlebihan, perubahan guna tanah dan aktiviti lain manusia yang mendorong kepada kehilangan dan pemecahan habitat.

"Perubahan iklim juga mempercepatkan kehilangan biodiversiti dan mengurangkan daya tahan ekosistem. Hal ini meningkatkan risiko berkaitan alam semula jadi, seterusnya mampu menjejaskan daya maju perniagaan dan mengakibatkan kehilangan nyawa.


"Perniagaan yang sangat bergantung pada perkhidmatan ekosistem untuk meneruskan operasi adalah yang paling terdedah kepada risiko berkaitan alam semula jadi," katanya.

BNM menyebut, risiko berkaitan alam semula jadi dan iklim berkait rapat, yang boleh dizahirkan dalam bentuk risiko fizikal, peralihan dan liabiliti.

"Risiko ini juga boleh mengakibatkan kerugian kewangan dan ekonomi yang disebabkan oleh kemerosotan dari segi keupayaan untuk menyesuaikan keadaan dan membina daya tahan terhadap kejadian buruk," katanya.

Justeru, BNM menyebut, langkah yang menyeluruh dan dirangka dengan teliti bagi menggalakkan penggunaan secara bertanggungjawab atau menggantikan semula sumber, adalah penting untuk memelihara nyawa dan mata pencarian rakyat.

Kajian Bank Dunia menilai tahap kerosakan yang akan berlaku jika bahagian tertentu sesebuah ekosistem, seperti perikanan laut, pendebungaan liar dan bekalan kayu balak dalam ekosistem berkurang sebanyak 90 peratus.

Kajian itu mendapati, di Asia Timur dan rantau Pasifik, keadaan itu boleh mengakibatkan kerugian sebanyak 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding dengan senario asas.

Di Malaysia, kerugian dijangka lebih besar iaitu sebanyak enam peratus daripada KDNK menjelang 2030 disebabkan oleh kesan buruk daripada perkhidmatan ekosistem perhutanan dan perikanan Malaysia yang terjejas.

"Sehubungan itu, BNM merancang untuk meluaskan libat urus dan inisiatif pembinaan keupayaan semasa pada peringkat bank serta sektor kewangan supaya mengambil kira risiko berkaitan alam semula jadi.

"Tumpuan segera adalah untuk mengenal pasti peluang bagi memajukan usaha yang sedang dilaksanakan untuk mengukuhkan daya tahan terhadap perubahan iklim," katanya.

Sebagai contoh, BNM menyebut, jawatankuasa kecil JC3 bagi Menangani Jurang Data (Bridging Data Gaps, BDG) sedang mengkaji cara untuk menambah baik pengumpulan data berkaitan dengan risiko alam semula jadi di Malaysia.

"Usaha ini bertujuan untuk memudahkan analisis yang lebih terperinci mengenai cara sektor kewangan meningkatkan risiko berkaitan alam semula jadi dan kesan kehilangan biodiversiti terhadap sistem kewangan.

"Analisis ini akan dijadikan asas dalam menentukan keutamaan tindak balas industri terhadap risiko berkaitan alam semula jadi," katanya. 


Sumber: BERNAMA


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote mieyrasfea 28-4-2023 06:34 PM
Biodiversity can have both positive and negative effects on the economy. On the one hand, biodiversity provides essential ecosystem services that directly and indirectly support human activities, including food production, water supply, climate regulation, and recreation, among others.

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-10-2024 02:20 AM GMT+8 , Processed in 0.025896 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top