Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 31, belum bertemu cinta baharu dan terfikir untuk berkahwin kerana sibuk memberi tumpuan kepada karier seninya yang masih rancak. Nabila ditemui berkata, kesibukan kerja membuatkan dia tiada masa untuk bercinta walaupun timbul kerisauan dihatinya selepas melihat kebanyakan rakan dan kenalan rapat sudah hidup berkeluarga.
"Risau itu ada juga terasa, sebab umur makin meningkat. Tapi, ia tidaklah sampai membebankan fikiran saya lagi. Memang saya tak ada kekasih atau berkawan rapat dengan seseorang pun kerana jadual diisi dengan aktiviti kerja. "Entahlah, memang buat masa sekarang saya belum lagi terfikir untuk berumah tangga. Cuma, tipulah kalau saya kata tak pernah terfikir langsung. Apapun, sekarang memang fokus pada karier dulu," katanya kepada Harian Metro. Ditanya apakah dia terlalu memilih selepas dikecewakan bekas kekasih, Nabila berkata itu bukan sebabnya, cuma dia perlu mencari duit bagi menanggung keselesaan hidup keluarganya.
"Saya tidaklah terlalu memilih soal jodoh, asalkan lelaki itu boleh menerima diri ini seadanya, syukur Alhamdulillah. Namun, sebenarnya masih banyak perkara yang belum saya buat di dalam industri ini. "Lagi pun, hendak menjaga satu 'hati lain' memerlukan tanggungjawab juga. Kalau ada yang mahu mengenali, saya okay saja sebab ciri-ciri lelaki idaman diimpikan pun sudah banyak dikurangkan. "Apa yang penting, cukuplah kalau hati si dia ikhlas menerima dan mengenali cara kerja saya. Insya Allah, kalau ada jodoh pasti akan datang juga dan saya tak akan menyimpannya sendirian," katanya. Menurut penyanyi lagu Peluang Kedua ini, dia juga bersikap terbuka jika jodohnya diatur keluarga. Katanya, tapi biarlah lelaki yang dijodohkan itu memenuhi ciri-ciri teman hidup sebagaimana diharapkannya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT