Sempena Aidilfitri dan Hari Pekerja tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan. Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan tambahan itu membabitkan perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya serta laluan KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya pada 19 hingga 25 April.
Manakala, jualan tiket ETS tambahan akan mula dijual pada jam 10 pagi esok. Tren tambahan itu menawarkan 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 13,860 tiket yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan dalam tempoh tersebut. Perkhidmatan tren ETS tambahan bagi kedua-dua laluan itu membabitkan 14 perkhidmatan dengan masing-masing menawarkan 4,410 tiket. "Sementara itu, perkhidmatan tren tambahan sempena Hari Pekerja yang melibatkan 16 perkhidmatan akan bermula pada 28 April hingga 1 Mei dengan jumlah tiket ditawarkan sebanyak 5,040," menurut kenyataan itu.
Tiket sedia ada yang telah ditawarkan pada tarikh-tarikh itu adalah sebanyak 109,890. KTMB memaklumkan jadual ETS tambahan pada 19 April waktu berlepas bagi sektor KL Sentral ke Padang besar adalah jam 11 pagi (Padang Besar-KL Sentral) dan 5.05 petang (KL Sentral-Padang Besar) manakala sektor KL Sentral ke Butterworth pula pada jam 11.40 pagi (Butterworth-KL Sentral) serta 4.40 petang (KL Sentral-Butterworth). Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan dan mengelakkan daripada kehabisan tiket. "Orang ramai digalakkan mendapatkan tiket secara dalam talian dan melihat jadual tren disediakan melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas," menurut KTMB. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau saluran media sosial rasmi Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT