Umat Islam di negara ini dinasihati tidak mensia-siakan pahala puasa di bulan Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian memandangkan sisa makanan daripada berbuka puasa menjadi penyumbang terbesar kepada tahap pembaziran makanan di bulan Ramadan.
"Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir," menurut hantaran di laman sosial Istana Negara. Seri Paduka Baginda juga bertitah dalam bulan yang mulia ini, ibadah sunat dan amalan kebajikan harus ditingkatkan, manakala ukhuwah sesama insan perlu diperkukuh di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan. Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
"Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT," menurut hantaran itu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT