Sebuah pesawat jenis Airbus A320 milik Cebu Pacific Air membawa 92 penumpang dan anak kapal, dilaporkan mengalami masalah enjin dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi
Menurut laporan, pesawat itu berlepas dari Cebu di Filipina jam 7.55 malam dan dipercayai mengalami masalah enjin bahagian kiri pesawat ketika penerbangan sebelum membuat pendaratan di KKIA dengan selamat jam 10.22 malam. Difahamkan pesawat berkenaan dijadual mendarat di Singapura tengah malam tadi. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA jam 9.49 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan. "Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan anak kapal selamat. "Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10.29 malam," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT