Satu video yang tular di media sosial memaparkan aksi seorang murid perempuan yang gigih memanjat pagar untuk cuba meloloskan diri dari sekolah. Dimuat naik di akaun pengguna TikTok bernama @_tineyeny, kelihatan kanak-kanak berkenaan yang berpakaian sukan menyusun langkah dan berhati-hati melewati pagar utama sekolahnya yang telah ditutup.
Mungkin menganggap tiada siapa yang memerhati gerak gerinya, dia memanjat pagar itu sebelum dia akhirnya berjaya lolos melalui celahan besi gara-gara saiz tubuh yang agak kecil. Namun kanak-kanak berkenaan terjatuh ketika cuba 'mendarat' di atas tanah namun dia bingkas bangun melarikan diri. Kanak-kanak tersebut bagaimanapun berjaya 'ditahan' oleh dua pengawal keselamatan yang kemudian mendukungnya untuk dibawa masuk ke bilik darjah semula.
Susulan video berkenaan tular, ramai dalam kalangan warga maya yang terhibur namun dalam masa sama tertanya-tanya kisah di sebalik aksi comel kanak-kanak berkenaan. Seorang pengguna Facebook, Norsahila Hashim, yang dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan, tampil berkongsi cerita sebenar di laman sosial tersebut.. Menurut Norsahila, anak keduanya itu adalah murid pra-sekolah di sebuah sekolah di Rompin, Pahang. Dalam satu hantaran di Facebook, wanita berkenaan turut berkongsi beberapa gambar anak keduanya yang digelar kakak, sewaktu dihantar oleh bapanya ke sekolah pada hari pertama persekolahan pada Isnin. Dalam perkongsian seterusnya, dia turut memuat naik video yang memaparkan anak perempuannya sedang meloloskan diri dengan memanjat pagar. "Akak melarikan diri... akak kena tangkap dengan jaga (pengawal keselamatan)," tulisnya pada hantaran berasingan. Tambah wanita tersebut, anak keduanya cuba melarikan diri kerana mahu mencari bapanya. "Anak nombor dua kita. Dia cari ayah dia. Baru hari pertama, macam-macam hal la anak dara aku," selorohnya pada ruangan komen. Sementara itu di ruangan komen, rata-rata warga maya melontarkan komen lucu malah menyifatkan kanak-kanak perempuan tersebut sebagai seorang yang berani. "Kelakarlah... kantoi juga ya. "Ikut perangai siapa ni... ikut mak dia kot. "Pening cikgunya... sabar sajalah," demikian antara komen netizen. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT