Seorang pemandu teksi yang didakwa mengaut keuntungan berganda dengan memalsukan kadar rata tambang kepada pengunjung dari Taiwan dilarang mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok.
Pemandu itu didakwa mengenakan bayaran antara 1,200 hingga 1,500 baht (kira-kira RM157 hingga RM196) berbanding kadar meter sebenar sekitar 300 baht (kira-kira RM39). Disebabkan tindakannya itu, lesen memandunya juga mungkin ditarik. Terdahulu, tular gambar senarai tambang yang disiarkan di laman sosial Facebook bertajuk Khao Wong Karn Thong Thiew, Thai. Pihak pengurusan lapangan terbang pada Ahad berkata, pemandu teksi yang tidak dinamakan itu menggunakan satu senarai tambang ke pelbagai destinasi. Menurutnya, semua pemandu teksi dikehendaki menggunakan meter untuk tambang.
"Pihak pengurusan sudah memanggil pemandu teksi itu untuk disoal siasat selepas melihat senarai palsu berkenaan di media sosial. "Nama pemandu teksi itu dihantar ke Jabatan Pengangkutan untuk pertimbangan membatalkan lesen teksi kerana mencemarkan imej Thailand dan berkemungkinan dia sudah menipu pelancong lain," katanya. Pengurusan lapangan terbang juga menafikan laporan bahawa surcaj 50 baht (kira-kira RM7) untuk perjalanan teksi dari lapangan terbang mendorong pemandu mengenakan kadar tetap dan menjelaskan ia diberikan kepada pemandu. Pemandu teksi akan diperiksa secara rawak sepanjang masa untuk mengelakkan mereka tidak menggunakan meter. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT