Oslo: Tular di media sosial amalan ibu bapa yang meninggalkan bayi di luar rumah tanpa pengawasan semasa cuaca sejuk. Terbaharu, satu rakaman video memaparkan bayi sedang tidur dalam kereta sorong ditinggalkan sendirian tanpa pengawasan, lapor portal Insider.
Pada 14 Februari lalu, pempengaruh TikTok Australia, Olly Bowman memuat naik video dengan hantaran menunjukkan sekumpulan bayi ditinggalkan bersendirian dalam kesejukan di Norway. Dalam rakaman itu, Bowman merakamkan dirinya sambil menunjukkan kereta sorong bayi yang berbaris di jalan tanpa kelihatan ibu bapa. Video Bowman ditonton lebih 3.4 juta orang dan menerima lebih 4,000 komen serta 1,188 tanda suka. Sebahagian penonton terkejut dengan amalan itu, namun ramai beranggapan positif bahawa ibu bapa tidak bimbang untuk meninggalkan bayi mereka tanpa pengawasan berbanding di Amerika Syarikat (AS), ibu bapa bimbang keselamatan anak mereka di sekolah.
"Bayi ditinggalkan di luar semasa ibu membeli-belah, dan di Amerika, kami takut untuk menghantar anak ke sekolah," komen seseorang di video Bowman. Ini bukan kali pertama konsep itu menjadi tular kerana pada September 2022, pempengaruh dan ibu kepada empat anak, @annieineventyrland memuat naik video mengenai amalan sama di Denmark. Dalam TikTok yang ditonton lebih 16 juta kali, rakaman menunjukkan kereta sorong bayi terbiar di jalan dan bawah pokok boleh dilihat dengan mendakwa amalan itu bukan hanya norma budaya tetapi disyorkan bidan serta jururawat. Perdebatan di media sosial mengenai amalan itu bermula sejak Januari 2020 apabila pemuzik Denmark, Amalie Bruun menyiarkan di Instagram gambar anaknya berusia empat bulan sedang tidur di luar. Satu kajian diterbitkan pada 2008 mendapati bahawa kanak-kanak tidur lebih lama di luar berbanding dengan tidur siang di dalam rumah, serta menyimpulkan konsep itu amalan biasa ibu bapa di Finland, seawal bayi mereka berusia dua minggu. Terdapat potensi manfaat untuk keadaan tidur di luar termasuk tidur lebih lama dan berkualiti serta mengurangkan pendedahan kepada kuman berbanding tidur dalam rumah, kata perunding di London, Katie Palmer kepada Insider. Namun terdapat juga risiko termasuk hipotermia pada musim sejuk dan sinaran matahari pada musim panas mendedahkan kepada pencemaran serta risiko penculikan jika ibu bapa tidak mengawasi anak mereka. Palmer berkata, beliau tidak menggalakkan atau menghalang ibu bapa membiarkan bayi mereka tidur di luar dengan syarat mereka berada dalam keadaan selamat, waras serta mengawasi bayi mereka. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT