KUALA PILAH: Seorang mekanik yang sebelum ini mengaku tidak bersalah mencederakan isterinya dengan gunting panas dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Ia selepas tertuduh, Mohamad Faiz Shahruddin, 28, dari Gemas, Tampin menukar pengakuannya sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norma Ismail. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan cedera iaitu dengan cara mencucuh benda hangat iaitu sebilah gunting yang dipanaskan pada jari telunjuk kiri isterinya yang berusia 27 tahun. Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bengkel motosikal di Felda Jelai pada pukul 10.30 malam, 13 Disember tahun lalu. Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama. Norma kemudian menjatuhkan hukum penjara satu tahun dari tarikh dia ditangkap.
Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku ketika isteri tertuduh membantunya membaiki radio dan berlaku pertengkaran kerana isteri tertuduh tidak memegang betul radio yang sedang dibaiki. Tertuduh mengambil gunting panas dan mencucuh ke jari telunjuk kiri isterinya selain tertuduh turut menumbuk kepala sebelah kanan. Pada 16 Disember tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama namun tidak mengaku salah atas pertuduhan itu. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT