Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan 50,000 pembayar cukai akan tampil dalam program sukarela khas SVPD 2.0 mulai 1 Jun nanti hingga akhir tahun depan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Nizam Sairi antara kumpulan yang diharap dapat tampil adalah pemilik perniagaan yang bermula kecil dan telah berkembang dan layak membayar cukai.
Ini selain golongan individu dan syarikat yang tidak pernah melaporkan pendapatan mereka sebelum ini. Penekanan turut diberikan kepada golongan 'influencer' dan 'TikTokers' yang meraih pendapatan menerusi perkhidmatan mereka dalam talian. "Oleh kerana mereka bergiat secara terbuka di khalayak ramai, kami memerhati, ini sebagai peringatan bukan amara, bahawa LHDN nampak apa yang berlaku, tampil kehadapan, ini peluang terbaik dalam SVPD 2.0," katanya. Jelasnya, pendapatan 'influencers' dan 'TikTokers' boleh dinilai secara jelas melalui jumlah pengikut selain tontonan kandungan yang telah dimuat naik atas talian.
LHDN juga melaksana inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama golongan ini bagi memahami dan mendapatkan maklum balas daripada mereka. Difahamkan, LHDN sudah membentuk satu unit khas bagi mengenal pasti golongan terbabit. Untuk rekod, program SVPD 2.0 ini diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sumber: GEMPAK, BULETIN TV3
|
ADVERTISEMENT