Seorang pencuri gagal memecah masuk rumah mangsanya apabila tersepit selama lima jam pada pintu rumah tersebut, lapor Kosmo! Online. Ketika kejadian di Batu Bara, wilayah Sumatera Utara itu, suspek dikenali sebagai BI, 30, dilaporkan sedang cuba memasuki rumah mangsa.
Difahamkan, dia pada mulanya memanjat pagar dan mencabut atap sebuah rumah lain untuk mencuri, namun mengubah niat dan beralih kepada rumah mangsa bersebelahan rumah pertama. Kata Ketua Polis Labuhan Ruku, Asisten Komisioner Polis Fery Kusnadi, suspek yang mencungkil pintu besi seberat 10 kilogram, menyendalnya menggunakan batang kayu. Bagaimanapun, batang kayu tersebut tiba-tiba jatuh ketika suspek menjulur kepalanya di sebalik pintu, menyebabkan dia panik. Belum pun sempat suspek menyelamatkan diri, badannya tersepit pada pintu tersebut yang membuatkan dia tidak dapat bergerak sehingga ditemui mangsa keesokan harinya.
“Pemilik rumah tersebut hanya menyedari hal itu pada keesokan harinya,” kata Fery. Tambahnya, pemilik rumah berkenaan terkejut apabila mendapati terdapat seorang lelaki tersepit pada pintu rumahnya sejurus bangun daripada tidur. Suspek yang diberkas selepas mangsa membuat laporan dibawa untuk mendapatkan rawatan. - CARI
|
ADVERTISEMENT