Tidak dinafikan perkembangan fesyen memberi nafas baru pada rekaan baju Melayu. Bagaimanapun, pakaian yang menjadi tradisi sejak berzaman-zaman itu kelihatan semakin hilang keasliannya.
Baju Melayu yang membuat kaum Adam kelihatan segak kini direka dengan potongan sendat dan singkat. Malah, ada yang menggunakan fabrik jarang bagi menyelit elemen seksi. Biarpun pelbagai transformasi diberikan ke atas pakaian tradisi Melayu, pelakon Aeril Zafrel yang muncul dengan koleksi terbaharu berkolaborasi bersama HijabistaHub, Soultan, percaya baju Melayu tidak perlu terlalu hipster. "Saya dah jual baju Melayu lebih lima tahun, peminat tak suka terlampau fancy, trendy sangat. Mereka suka baju Melayu macam dulu-dulu cuma kelebihan adanya butang yang pelbagai serta aksesori ringkas untuk menambahkan seri. "Malah, kalau sepasang baju Melayu itu dipotong dan dijahit cantik, tambah pula warna yang menarik, orang akan senang terpaut! "Baju Melayu tak perlu diubah-ubah jadi sesuatu lain. Ia takkan laku, hanya dibeli orang tertentu. Terlampau moden pun orang tak gemar," katanya. Jenama Soultan diberikan oleh Aeril sendiri menerusi kerjasama sulung bersama HijabistaHub tahun ini. Malah, koleksi itu pertama kali dilancarkan dan dipamerkan kepada khalayak dalam acara yang berlangsung di JW Mariott Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sumber: Gempak
|
ADVERTISEMENT