Pakar psikiatri palsu di Britain dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun selepas mahkamah di Manchester mendapati wanita itu bersalah menjalankan perkhidmatan berkenaan selama dua dekad. Sepanjang berkhidmat sebagai pakar psikiatri palsu di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) tanpa sebarang kelayakan dalam bidang rawatan psikiatri, Zholia Alemi juga menerima gaji sejumlah sejuta Pound (RM5.405 juta).
Menurut Utusan memetik laporan Mirror, Zholia merawat pesakitnya selama 20 tahun selain mengemukakan beberapa dokumen palsu untuk bekerja dengan NHS. Antaranya adalah sijil ijazah palsu dari Universiti Auckland di New Zealand. Mahkamah memutuskan hukuman itu selepas muslihat Zholia dibongkarkan wartawan, Phil Coleman. Difahamkan, Coleman mula menyiasat latar belakang wanita itu sehingga mendapat tahu dia tidak pernah memperoleh ijazah tersebut secara sah yang didakwa melayakkannya untuk menjadi pakar psikiatri.
Zholia didapati bersalah kerana memalsukan sijil dan surat pengesahan yang digunakan untuk mendaftar dengan Majlis Perubatan Am (GMC) pada tahun 1995. Insiden itu menyebabkan GMC dikecam hebat kerana gagal menjalankan pemeriksaan lebih ketat terhadap individu sehingga berlaku isu sedemikian. - CARI
|
ADVERTISEMENT