Bangkok: Bapa dari Udon Thani di timur laut Thailand sanggup menggantung gegantung bagi menzahirkan penghargaan kepada Mahkamah Udon Thani kerana memenjarakan dua anak yang cuba membunuhnya.
Portal Thaiger melaporkan, Ouai Kapradit hampir dibunuh dua anak lelakinya ketika konflik perebutan tanah. "Terima kasih kepada Polis Nong Han dan pendakwa raya di Mahkamah Udon Thani kerana menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun kepada anak lelaki saya yang tidak bersyukur dan tahu mengenang budi. "Karma segera, tidak perlu menunggu sehingga kehidupan seterusnya," menurut tulisan pada gegantung berkenaan. Bagaimanapun, isteri suspek dan ahli keluarga menceritakan perkara yang sama sekali berbeza. Akhbar KhaoSod melaporkan Ouai Kapradit, 80, memasang sepanduk mengecam dua anak lelakinya kerana cuba membunuhnya.
Ouai berkata, anak lelakinya cuba berbuat demikian kerana dia tidak memberikan mereka plot tanah seluas 3.2 hektar. Ouai menggantung gegantung di hadapan rumahnya untuk mengumumkan secara terbuka pendakwaan terhadap anak lelakinya. Kemudian, dia mengangkat sepanduk pada pikapnya dan memandu mengelilingi kawasan perumahan. KhaoSod melaporkan isteri Ouai adalah pesakit terlantar, dan pasangan itu mempunyai empat anak lelaki termasuk Samruay, Preeda, Banlaeng, dan Boonchan. Banlaeng dan Boonchan didakwa cuba membunuh Ouai serta cuba menyerang bapa mereka dengan kapak, kata Preeda. Susulan itu, Ouai memfailkan aduan terhadap dua anaknya itu kerana cubaan membunuh di Balai Polis Nong Harn. Pada 23 Februari lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun kepada Banlaeng dan 33 tahun untuk Boonchan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT