Ankara: Seorang suami didakwa menuang air mendidih ke muka bekas isterinya ketika mangsa nyenyak tidur. Daily Star melaporkan, mangsa, Alev Altun dan dua anaknya berpindah dan tinggal bersama bekas suaminya, Savas Altun selepas gempa bumi Turkiye memusnahkan rumahnya di daerah Samandag, wilayah Hatay.
Tiga hari selepas berpindah iaitu pada 19 Februari, wanita itu mendapati dirinya terjaga dalam kesakitan selepas bekas suaminya, Altun, 37, didakwa menuang air mendidih ke atas kepala dan mukanya. Ketika Alev menjerit kesakitan, Altun memberitahu bekas isterinya itu: 'Kamu sepatutnya gembira saya tidak membunuh kamu". Gambar ngeri itu mendedahkan Alev terbaring di atas katil hospital dengan kepala dan lengannya berbalut. "Pada malam hari ketiga, dia menuangkan satu periuk (berisi) air mendidih ke atas kepala saya ketika saya sedang tidur nyenyak.
"...dia hanya memberitahu saya bahawa saya sepatutnya gembira dia tidak membunuh saya," kata ibu 25 tahun yang berpisah dengan bekas suaminya sembilan bulan lalu. Alev memberitahu media tempatan Altun yang memujuknya untuk tinggal bersama selepas pangsapurinya runtuh dalam gempa bumi pada 6 Februari lalu. "Katanya, kami harus berbaik semula dan tinggal bersamanya. "Rumahnya tidak musnah akibat gempa bumi itu. Rumah baharu kami rosak teruk akibat gempa bumi itu jadi saya terpaksa memikirkan tempat tinggal bersama dua anak saya," katanya. Pada mulanya, Alevd pergi ke rumah kakaknya dan bermalam selama sembilan malam di sana. "Kemudian, bekas suami saya datang dan mendesak untuk tinggal di rumahnya. "Dia mendakwa anak kami akan mendapat ketenangan jika kami berdamai. Kami tidak bertengkar selama tiga hari," katanya. Altun dilaporkan ditahan ketika cuba melarikan diri bersama anak dan wang tunai. Lelaki itu dilaporkan masih dalam tahanan dan memberitahu polis periuk air mendidih terlepas dari tangannya ketika gempa susulan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT