Rasa tidak puas hati tidak diberi laluan untuk memotong kenderaan dipercayai punca pergaduhan tiga lelaki di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di Dungun. Video dirakam seorang pengguna jalan raya kira-kira jam 8.30 pagi Ahad itu memaparkan lelaki berbaju putih bergelut dengan lelaki memakai baju hitam manakala seorang lelaki berkopiah turut kelihatan dalam video berkenaan.
Berikutan kejadian, kedua-dua pihak dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun. Kata Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, punca kejadian dipercayai berlaku ekoran rasa tidak puas hati ketika salah seorang pemandu tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan di depannya. "Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan kertas siasatan berhubung kejadian ini juga telah pun dibuka.
"Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan dipetik Sinar Harian pada Isnin. Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam, Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. - CARI
|
ADVERTISEMENT