Warga emas maut ekoran kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya merempuh pokok selepas terbabas di Jalan Tun Mustapha awal pagi ini. Bernama melaporkan, Chan Wah Shin, 62, yang memandu sendirian hilang kawalan dan memasuki haluan bertentangan sebelum terbabas merempuh pokok di bahagian tepi jalan raya.
Kata Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawilla, lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.21 pagi dan sepasukan 13 anggota digerak ke lokasi kemalangan. Bagaimanapun, paramedik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan anggota bomba. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - CARI
|
ADVERTISEMENT