Seoarang lelaki bercuti bersama keluarganya ke Kampung Sri Gading, Sedili, Johor teruja apabila menemui stesen minyak daripada masa silam. Dalam satu perkongsian TikTok, Mohd Muzhaffar Ra'il, 34, sempat merakam detik berharga itu apabila dia singgah mengisi petrol di stesen minyak yang menggunakan pam analog.
"Saya pergi bercuti dengan keluarga besar belah adik-beradik saya. Pada pagi tu saya dengan beberapa ahli keluarga keluar cari sarapan. Tiba-tiba isyarat lampu minyak menyala. "Kami tanya orang kampung dekat situ, di mana stesen minyak yang paling dekat dan mereka cakap kena pergi dekat pekan sana, jauh dalam 60 kilometer (km) juga perjalanan sehala. "Lepas pusing-pusing tu kami jumpa la satu stesen minyak ni, tapi stesen minyak kampung. Maklum la kami bercuti ni pun di kawasan luar bandar... dalam Felda," ujar Muzhaffar ketika dihubungi mStar.
Katanya, mesin itu dibuat dan diubah suai sendiri lelaki yang menjaga kedai minyak terbabit. Dia juga menyifatkan sistem pam petrol yang digunakannya seakan-akan sesuatu yang ditarik keluar dari mesin masa. "Dia siap ada hos getah macam mesin tebu. Katanya mesin tu berusia hampir sedekad juga. Mesin macam ni banyak ada dekat Felda. "Orang Felda kan generasi peneroka, jadi mereka memang kreatif bab-bab ni," terang Muzhaffar. Dia juga menceritakan bagaimana pengusaha stesen minyak itu mendapatkan bekalan petrol. "Dia akan bawa satu tong drum naik kenderaan pacuan empat roda pergi ke stesen minyak di pekan untuk dapatkan supply. Sekali dia pergi tu ada had yang dia boleh beli. "Had dia dalam 100 ke 200 liter sekali isi. Jadi lepas isi tu dia akan bawa balik tong drum yang dah penuh tu dan masukkan petrol ke dalam mesin dekat tempat dia. "Sebab dia kena buat transportation semua sendiri, saya tak dapat nafikan yang harga minyak dia mahal 30 sen daripada biasa. Dia pun nak kena cari untung juga, lagi pun tak ada orang hantar minyak dekat dia. "Saya pun tak isi banyak, kira-kira 10 liter je untuk bagi lepas pergi bandar dan isi minyak dekat pekan," kata Muzhaffar. Dalam pada itu, dia tidak merasakan kaedah digunakan tidak membahayakan kerana ia sama seperti pam biasa di bandar, cuma sistem digunakan di kedai minyak berkenaan adalah secara analog. Tambahnya, jarang kereta mengisi minyak di kedai itu, sebaliknya rata-rata yang mengisi minyak di situ adalah orang kampung yang menggunakan motosikal. - CARI
|
ADVERTISEMENT