Kecewa rugi teruk, pemilik premis perniagaan di Klebang Utama meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak lagi membenarkan bazar Aidilfitri didirikan di kawasan laluan dan parkir di situ.
Suara Merdeka melaporkan, mereka mendakwa menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM35,000 sejak dua tahun lalu sepanjang bulan puasa apabila bahagian hadapan premis tertutup dek khemah yang didirikan untuk bazar berkenaan beroperasi. Bukan setakat pemilik premis terjejas tetapi majoriti penduduk di Taman Klebang Utama berdekatan turut membantah pembukaan bazar tersebut yang menghalang laluan keluar masuk ke rumah kediaman mereka.
Pemilik premis makanan segera MarryBrown, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, pihaknya menanggung kerugian RM10,000 pada 2021 dan RM15,000 pada tahun lalu apabila operasi perniagaannya ditutup oleh khemah bazar yang didirikan di situ menyebabkan ramai pelanggan tidak dapat memasuki premisnya kerana berlaku kesesakan selepas waktu berbuka puasa. Justeru, beliau menghantar surat bantahan kepada MBMB meminta agar bazar di Klebang Utama tidak didirikan di situ bulan depan sebaliknya dipindahkan ke kawasan pantai Klebang tidak jauh dari situ. Sementara itu, peniaga restoran Teeko Cafe, Shahril Mahmood berkata, perniagaannya kerugian paling teruk sepanjang bulan puasa iaitu pada 2021 sebanyak RM30,000 dan tahun 2021 pula RM35,000. “Macam mana nak berniaga kalau bahagian hadapan premis ditutup dengan khemah. Meja untuk pelanggan makan pun saya tidak dapat buka di ruang hadapan,” ujarnya. Bagi pemilik Mix & Grilled Cafe, Shyafiqah Shamsuddin pula berkata, dia mengalami kerugian antara RM16,000 hingga RM20,000 apabila pelanggan tidak dapat memasuki premisnya kerana ditutup khemah bazar. Katanya, ada ketika pendapatan yang diperolehi antara RM400 hingga RM1,000 sehari berbanding bukan di bulan puasa, mereka mampu meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari. “Saya terpaksa buka kedai dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam sebab tidak ada pelanggan memasuki premis untuk menikmati hidangan kerana susah nak bergerak dan tak nampak kedai,” ujarnya. Sumber: Suara Merdeka |
ADVERTISEMENT