Kuala Lumpur: Wanita buntu memikirkan masa depan cucu angkatnya kerana tidak dapat meneruskan persekolahan disebabkan masalah dokumentasi. Norlaily Rahimin Abdullah, 58, berkata dia menjaga Putri Amiera Abdullah, 9, sejak lima tahun lalu selepas anaknya, Khairol Ibnuniezam Mohamad Ibrahim meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 2018.
Katanya, Putri Amiera dijaga Khairol sejak berusia dua minggu selepas diserahkan oleh ibu kandungnya, Kamiza Md Safar yang juga rakan kepada anak lelakinya pada 2014. "Pada mulanya, wanita itu ada menghubungi kami untuk mengetahui keadaan anaknya, namun dia kemudian menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi. "Sejak itu, Puteri Amiera dijaga oleh Khairol sebelum saya mengambil alih tugas itu selepas pemergiannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, Puteri Amiera pernah bersekolah di tadika pada usia enam tahun, namun tidak dapat meneruskan persekolahan di sekolah rendah kerana masalah dokumentasi. "Saya sudah merujuk perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka meminta supaya kami cuba mengesan ibu kandung Puteri Amiera," katanya. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung Puteri Amiera diminta menghubunginya di talian 011-37339816. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT