David Malpass membuat keputusan mengejutkan pada Rabu apabila mengumumkan bakal meletak jawatan sebagai Presiden Kumpulan Bank Dunia pada 30 Jun. Agensi Akhbar Jerman dpa melaporkan, menurut kenyataan bank pembangunan yang berpangkalan di Washington itu, Malpass membuat keputusan berkenaan selepas mengetuai kumpulan itu selama lebih empat tahun.
"Empat tahun yang lalu adalah antara yang paling bermakna dalam kerjaya saya dengan banyak kemajuan dicapai, namun selepas berfikir, saya memutuskan untuk meneruskan cabaran baharu. "Dengan negara membangun berhadapan krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, saya berbangga kerana Kumpulan Bank bertindak balas dengan pantas, berskala, berinovasi dan memberi impak," katanya dipetik Harian Metro. Bank Dunia meminjam wang kepada negara miskin dengan syarat yang menguntungkannya bagi mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan negara peminjam. Organisasi ini disokong oleh 189 negara di seluruh dunia.
Malpass yang memegang jawatan itu pada 2019 semasa pemerintahan Presiden Donald Trump dikritik hebat termasuk oleh Rumah Putih dan Menteri Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Jerman Svenja Schulze kerana kenyataannya mengenai perubahan iklim. Difahamkan, beliau dicalonkan sebagai presiden kumpulan itu untuk tempoh lima tahun dan akan berundur kira-kira setahun sebelum penggalnya berakhir. - CARI |
ADVERTISEMENT