Pengarah Hospital Putrajaya menyarankan orang awam untuk memberi laluan kepada pesakit kritikal mendapatkan rawatan segera di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Datuk Dr Nora'i Mohd Said menasihatkan mereka mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran terlebih dahulu bagi kes-kes bukan kecemasan bagi membolehkan isu kesesakan atau jumlah pesakit ramai di hospital berkenaan ditangani dengan baik.
Dia berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa bagi mengulas isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya dibangkitkan seorang pengguna Twitter semalam (13 Februari). Merujuk ciapan bertarikh 13 Februari, Dr Nora'i menjelaskan pihak Hospital Putrajaya mengambil maklum mengenai isu kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang dibangkitkan oleh pemilik akaun tersebut, serta berterima kasih dan berlapang dada menerima pandangan yang dikemukakan.
Katanya, pada 13 Februari iaitu di antara pukul 11 malam hingga 1 pagi, bilangan pesakit di Zon Hijau hospital berkenaan mencecah 95 orang manakala jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang bertugas ialah 13 orang. "Petugas lain termasuk jururawat juga bertugas pada kapasiti maksima dan para doktor serta kakitangan bergilir untuk memanggil pesakit, bagi mengelakkan pesakit menunggu lama dan memudahkan doktor mendapatkan maklumat terus daripada pesakit,” katanya. Menyentuh isu kerusi roda tidak mencukupi pula katanya, pihak hospital telah menyediakan 15 kerusi roda bagi pesakit memerlukan dan pesakit atau waris boleh memohon di kaunter triage yang disediakan atau mendapatkan kerusi roda tambahan di kaunter keselamatan di Lobi Utama. Jelasnya lagi ruang menunggu juga ada disediakan berhampiran kawasan kaunter farmasi Jabatan Kecemasan dan di dalam kawasan ruang legar di Lobi Utama. - CARI
|
ADVERTISEMENT