Juara badminton paralimpik dunia 11 kali, Cheah Liek Hou antara yang tidak bersetuju dengan tindakan Bong Guang Yik mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap bangsa dan agama. Justeru, Liek Hou menyifatkan kenyataan berunsur perkauman bekas pemain pelapis percubaan negara itu sebagai mengarut.
Beliau yang turut menyumbang pingat emas pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 berkata, alasan umat Islam solat lima kali sehari tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan kritikan terhadap prestasi badminton negara, lapor MalaysiaGazette. "Semua orang perlu sembahyang termasuk kaum Cina. “Sebelum masuk ke gelanggang, sebelum masuk ke tournament, kita pun sembahyang untuk meminta satu confident orang kata,” katanya dipetik daripada rakaman video yang dikongsi dalam laman Facebook bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, Guang Yik mencetus kontroversi apabila membuat kenyataan mengenai pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikatanya teruk disebabkan diuruskan oleh kaum Melayu yang dianggapnya sebagai pemalas. Dakwanya, umat Islam culas menguruskan BAM kerana melaksanakan solat fardhu lima waktu, justeru mencadangkan agar pengurusannya ditukar kepada orang Cina. Semalam, Guang Yik memohon maaf atas kenyataannya itu sambil menyatakan niatnya adalah untuk mempertikatkan prestasi badminton negara. Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa sukan adalah untuk semua dan tiada sepatutnya dikaitkan dengan agama atau kaum. - CARI
|
ADVERTISEMENT