Kuala Pilah: Mayat bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan ditemukan di perkarangan sebuah masjid di Jemapoh, Juasseh. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mayat bayi yang ditemui kira-kira 4.30 petang itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam.
"Polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat bayi yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna kuning dalam keadaan tidak sedarkan diri. "Polis segera ke lokasi bagi melakukan siasatan dan pasukan perubatan mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kes itu. Justeru Amran berkata, polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi hotline IPD di talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT