Seorang peniaga mengamuk menggunakan sebilah parang ditahan polis. Lelaki berkenaan dilaporkan mengamuk di hadapan sebuah rumah sehingga merosakkan sebuah kereta milik keluarga teman wanitanya di Kampung Cheras Baru, jam 2 petang kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian, suspek berusia 40 tahun itu bertengkar dengan bekas isterinya setelah didatangi wanita berkenaan bersama ibu teman wanitanya di rumah berkenaan bagi mencari teman wanitanya. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak, lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan parang dan memecahkan cermin hadapan kereta milik keluarga teman wanitanya dan mematahkan tempat pemegang pintu sebelah pemandu. “Lelaki itu juga didakwa mengugut mahu membunuh emak dan seorang lagi ahli keluarga teman wanitanya,” katanya, dalam kenyataan, semalam. Polis ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan menahan lelaki berkenaan jam 3.30 petang.
Ketika ditahan, polis turut merampas sebilah parang berukuran lebih 64 sentimeter dipercayai dijadikan senjata dalam kejadian itu. Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif methamphetamin dan amphetamine. Ssupek yang turut mempunyai satu rekod jenayah berkait dadah kini direman empat hari bermula sehingga 13 Feb depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan dan perbuatan khianat atas harta benda. - CARI
|
ADVERTISEMENT