Hampir 100 ekor kucing termasuk kucing ‘kayangan’ bernilai ribuan ringgit dibuang di pasar-pasar awam dan di tepi jalan setiap bulan dan sebahagian menjadi ‘lauk’ kepada segelintir warga asing.
Haiwan peliharaan itu dibuang selepas pemiliknya tidak mampu menjaga kucing yang telah menghidap penyakit dan mempunyai banyak anak kerana kos rawatan serta penjagaan yang tinggi. Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, sepanjang tahun lalu, lebih 1,000 kucing jalanan diselamatkan pihaknya di sekitar Lembah Klang. Menurutnya, banyak lagi kucing lain terutama yang tinggal di lorong-lorong gagal diselamatkan ekoran kekurangan kakitangan. “Keadaan ini menyebabkan kebanyakan hayat haiwan itu berakhir sama ada di tangan manusia, menjadi pemangsa kepada binatang lain atau mati begitu sahaja di jalanan akibat kelaparan dan penyakit,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Arie memberitahu, kucing yang diselamatkan pihaknya bernasib baik kerana telah menjadi ‘haiwan angkat’ kepada pemilik baharu selepas proses rawatan dan pemulihan dilakukan di Galeri Animal Malaysia. Katanya, setiap bulan pihaknya menyelamatkan hampir 100 ekor kucing jalanan dan kemudian diberi rawatan sehingga kucing tersebut kembali sihat. “Lebih 50 ekor kucing telah menemui ‘tuan baharu’ setiap bulan dan kebanyakan kucing yang diserahkan ini telah menjalani proses pemulihan yang juga dibantu pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar. “Kita tidak akan menyerahkan kucing yang tidak sihat serta bermasalah kepada pemilik baharu. Kita juga sediakan khidmat pemandulan kucing jalanan sebelum mendapat ‘tuan baharu,” ujarnya. Arie berkata, terdapat kucing daripada baka yang mahal turut dibuang dan berjaya diselamatkan pihaknya. Terbaharu katanya, Animal Malaysia yang ditubuhkan pada 2017 berjaya menyelamatkan kucing jenis ‘American Curl’ yang ditemui di Pasar Selayang. Difahamkan, harga seekor kucing baka American Curl bermula RM5,000 seekor. “Bukan sahaja baka tempatan, malah kucing ‘kayangan’ juga dibuang di jalanan. “Kebanyakan kucing ini dibuang kerana pemiliknya tidak mampu menanggung kos untuk membela selain banyak pembiakan berlaku selain sakit. “Pemilik ini mengambil jalan mudah dengan membuangnya di jalanan. Sebelum ini juga banyak kucing ‘kayangan’ yang turut kita selamatkan di jalanan antaranya jenis baka siam, parsi dan bengal. “Kesemua kucing kayangan ini akan dirawat dan dipulihkan sama seperti kucing-kucing jalanan lain,” ujarnya. Sumber: Kosmo
|
ina_na replied at 7-2-2023 03:59 PM
Aku kn dah..deme buang anak kucing usia 5 bulan,Mata dah X leh buka..p bawak vet kucing selesema,dah ...
ADVERTISEMENT