Kulai: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Parit Panjang di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian 5.15 petang berlaku selepas lori yang dalam perjalanan dari Air Bemban ke Plaza Tol Sedenak hilang kawalan hingga merempuh motosikal berkenaan pada arah sama.
Menurutnya, penunggang motosikal yang juga berusia 48 tahun parah di kepala dan badan disahkan maut di tempat kejadian. Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi tujuan bedah siasat. "Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi siasatan lanjut. "Hasil ujian pernafasan menunjukkan pemandu lori positif alkohol. Lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 6 Februari (Isnin depan)," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT