Penempatan 30 anggota Pasukan Tindakan Pantas (QRT) Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, mampu mengatasi isu ‘kesesakan’ pelancong asing di pintu masuk negara serta mempercepatkan urusan berkenaan.
Hal itu terbukti apabila seramai 780 pelancong diberi pelepasan masuk ke Malaysia dalam tempoh satu jam pada hari pertama penugasan pasukan terbabit hari ini, berbanding kebiasaannya 495 orang. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah petugas itu, seramai 12 orang ditempatkan di kaunter KLIA, bagi membantu pegawai lain ketika waktu puncak. Menurutnya, QRT yang disertai 30 petugas itu, dibahagikan kepada dua pasukan, masing-masing di KLIA dan KLIA2 terdiri dari kumpulan pegawai bertugas di sektor operasi serta lain-lain perkhidmatan sokongan yang sudah diberikan pendedahan dan latihan.
“Pasukan QRT ini akan bertugas pada waktu puncak bermula jam 2 petang sehingga 8 malam, membabitkan 26 kaunter di KLIA. Faktor kesesakan waktu puncak ini disebabkan pemeriksaan ketat terhadap pelawat asing dari negara berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan QRT di KLIA di sini, hari ini. Khairul Dzaimee berkata, inisiatif QRT itu juga akan dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Imigresen dan Kastam Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 6 Februari ini. Katanya, ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pada masa ini, seramai 40 pegawai dari sektor operasi sedang menjalani latihan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan. Beliau berkata, faktor kesesakan lain di kaunter Imigresen KLIA adalah ketibaan penerbangan setiap lima hingga 10 minit atau antara 26 dan 27 penerbangan dalam tempoh empat jam pada waktu puncak, selain kaunter tidak beroperasi secara optimum. “Statistik kemasukan pelancong asing pada tahun lalu, merekodkan seramai 5,778,393 orang dengan anggaran bulanan seramai 481,532 orang atau harian 16,051 orang dan 668 setiap jam,” katanya. Terdahulu, Perdana Menteri dilapor mengarahkan penambahan anggota Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) serta-merta di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor. Arahan tersebut dikeluarkan sebagai langkah menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura itu. Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Dzaimee memaklumkan, statistik kemasukan pelancong warga asing ke negara ini mencatatkan seramai 495,210 orang sehingga 31 Januari lalu. Jelasnya, anggaran harian bagi pelancong warga asing yang masuk adalah seramai 15,975 dan 666 orang per jam. Selain itu, beliau berkata, inisiatif menangani kesesakan di KLIA turut diperluas melalui kemudahan pintu automatik kepada pemegang pas jangka panjang yang dilancarkan pada 15 November lalu. Ujarnya, sehingga 29 Januari lalu, seramai 15,708 pelawat Pemegang Pas Jangka Panjang sudah menggunakan kemudahan pintu automatik di KLIA. Sumber: Getaran
|
ADVERTISEMENT