Mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di Sungai Melaka, berdekatan Kampung Morten, di sini pagi tadi. Mayat lelaki berusia 38 tahun itu, ditemui terapung kira-kira jam 11.25 pagi oleh seorang wanita yang juga pemandu bot pelancong.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sejurus menerima maklumat daripada orang awam sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati mayat lelaki terbabit berada dalam keadaan terapung dan terlangkup. "Ketika ditemui mayat lelaki terbabit masih lengkap berbaju dan berseluar serta masih berselipar. "Pemeriksaan keatas tubuh badan lelaki terbabit juga mendapati tiada kesan perbuatan jenayah yang kelihatan selain dipercayai baru meninggal," katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi, pekerja pembersihan ada melihat si mati berjalan berseorangan di kaki lima sungai dan tidak mengesyaki apa-apa. "Tidak lama selepas itu, pada jam 11.25 pagi, pemandu bot memaklumkan menjumpai satu mayat lelaki terapung di dalam sungai," katanya. Christopher berkata, bapa lelaki terbabit yang membuatkan pengecaman memaklumkan anaknya adalah pemegang kad OKU masalah mental dan baru semalam keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan. "Turut dimaklumkan pagi sebelum kejadian, si mati berada di gerai milik bapanya sebelum keluar bersiar-siar malah jarak mayatnya ditemui dengan restoran bapanya hanya 100 meter. "Mayatnya sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT