Mira Filzah yang mengakui belum bersedia untuk membawa anak sulungnya yang belum mencecah usia setahun ke mana-mana acara. Jelasnya, pendekatan itu pasti diambil apabila anaknya itu sudah mencapai umur yang bertepatan untuk dibawa ke majlis.
"Buat masa ini, saya belum lagi membawa anak saya ke mana-mana acara, bagaimana pun saya pasti orang ramai maklum akan sensitiviti untuk menyentuh atau mencium bayi dengan pelbagai virus dan penyakit. "Memang tidak dinafikan sebagai ibu pastinya kita risau akan kesihatan anak. Sedangkan jika anak berjauhan pun akan sedih inikan pula jika anak berada dalam keadaan kurang sihat," kata Mira.
Sementara itu, Mira berkongsi anaknya, Wan Khair Amir Wan Emir Astar sudah diintai jenama besar dan rumah produksi. Pelakon popular itu berkata, dia dan suami terbuka memberi ruang kepada permata hati mereka terbabit dalam bidang komersil, namun perlu menapis tawaran mengikut kesesuaian usianya.
"Memang ada yang risik-risik mengenai kesediaan saya 'melepaskan' Amir ke dunia komersil sama ada membabitkan iklan mahupun berlakon. "Kalau kempen yang memerlukan tempoh singkat boleh dipertimbangkan, cuma terbabit dalam lakonan mungkin bukan dalam waktu terdekat sebab dia masih terlalu kecil," katanya. Kata pemilik nama lengkap Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, itu, sebenarnya sudah ada beberapa penampilan dia bersama Amir untuk promosi produk dan perkhidmatan yang menggunakan platform laman sosial.
"Amir pun suka tengok kamera macam yang ditunjukkan ketika kami menjalani kempen sebuah produk dari Korea Selatan. Dia bukan 'camera shy'," katanya. Terdahulu, perkahwinan Mira dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020 diserikan dengan kehadiran Amir yang dilahirkan pada 10 Mei lalu.-CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|