Seorang pelancong New Zealand maut ketika menaiki kereta api di lokasi digelar landasan 'kereta api maut' Perang Dunia II di wilayah Kanchanaburi di barat Thailand, semalam.
Dalam kejadian jam 11.50 pagi (waktu tempatan) itu, Balai Polis Sai Yok dimaklumkan, seorang pelancong asing maut selepas terjatuh kira-kira 10 meter dari kereta api ke tanah di landasan kereta api maut di Gua Krasae di daerah Sai Yok. Mangsa dikenali sebagai Patrick Ward, 45 tahun. Tragedi dia jatuh itu dirakam dalam video oleh seorang pelancong di kawasan itu dengan mangsa dilihat jatuh terlentang keluar dari kereta api dalam klip pendek itu.
Memandangkan tiada tangga atau cara lain untuk turun di kawasan itu, penyelamat terpaksa mencipta sistem takal sementara untuk menarik mayat keluar. Polis berkata, ketika penyelamat berusaha menyelamatkan Ward, dia hampir tidak bernafas dan mengalami kecederaan patah di lengan serta leher. Pasukan penyelamat berusaha menyelamatkannya selama kira-kira setengah jam tetapi usaha mereka sia-sia. Komander balai polis, Pol Kolonel Phuchong Narong-in, berkata pemandu pelancong mereka berkata, pelancong itu datang dengan sekumpulan yang diketuai oleh pemandu dari jambatan Sungai Kwai dan mangsa menaiki kereta api untuk melihat landasan 'kereta api maut' yang juga dikenali sebagai Kereta Api Thai-Burma. Pelancong itu dilaporkan membuka pintu kereta api dan cuba mengambil swafoto untuk menunjukkan pemandangan di luar tetapi dia tergelincir di pintu tangga dan terjatuh. Landasan 'kereta api maut' yang menghubungkan Thailand dan Burma dibina dari 1940 hingga 1943 oleh buruh awam dan tawanan perang Jepun, bagi membekalkan tentera dan senjata untuk kempen Jepun di Burma (Myanmar) dalam Perang Dunia II. Dianggarkan seramai 180,000 hingga 250,000 orang awam Asia Tenggara dan lebih 60,000 tawanan perang Bersekutu dipaksa menjadi buruh paksa pembinaan itu. Lebih 100,000 daripada mereka maut. Balai polis berkata, mereka akan menghubungi kedutaan New Zealand di Bangkok untuk tujuan pengurusan mayat untuk pengebumian. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT