Taikun sosej Rusia Pavel Antov ditemui maut di sebuah hotel di Rayagada, India, dua hari selepas seorang rakan yang bersamanya melawat negara itu, meninggal dunia.
Dia dan rakannya, Vladimir Bidenov, dilaporkan melawat negeri timur Odisha. Antov, 65, yang juga ahli politik Rusia serta tokoh terkenal di kota Vladimir, timur Moscow, dilapor ditemui meninggal dunia pada Ahad, tidak lama selepas menyambut hari lahirnya di hotel berkenaan, lapor BBC. Musim panas lalu dia dilapor menafikan mengkritik perang Rusia di Ukraine. Kematian jutawan itu adalah yang terbaharu dalam siri kematian melibatkan hartawan Rusia yang tidak dapat dijelaskan, sejak permulaan pencerobohan Rusia. Kebanyakan mereka mengkritik perang secara terbuka. Polis India bagaimanapun berkata, kematian tokoh terkenal itu tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah dan siasatan masih dijalankan.
Bagaimanapun menurut laporan awal, Antov dipercayai terjatuh dari balkoni hotel secara tidak sengaja atau berkemungkinan bertindak membunuh diri ekoran kematian rakannya pada Jumaat. Malah ada juga dakwaan pihak berkuasa India bahawa Antov berkemungkinan diserang angin ahmar akibat tekanan atau depresi yang dialaminya. Laporan menyebut, rakannya ditemui meninggal dunia di dalam bilik hotel, dan siasatan turut tidak menemui unsur jeayah. Menurut laporan media Rusia, Antov adalah salah seorang pengeluar sosej daging terkemuka di Rusia dan merupakan pengasas syarikat daging "Vladimir Standard". Antov bukan sahaja usahawan tersohor, dia juga sebenarnya terlibat dengan beberapa kegiatan politik termasuk menjawat jawatan Timbalan Dewan Undangan Wilayah Vladimir. Pada 2019, pendapatan tahunan Antov yang diisytiharkan sebanyak £130 juta dalam analisis Forbes Rusia, yang menjadikannya salah seorang penggubal undang-undang terkaya di Rusia. Sumber: AWANI
|
ADVERTISEMENT