Suami isteri di India meraikan hari bahagia mereka dengan memadankan jersi pasukan bola sepak masing-masing bersama busana tradisional perkahwinan mereka.
Pasangan itu, Sachin R dan R Athira melangsungkan hari bahagia mereka dalam satu majlis keraian di bandar Kochi sempena perlawanan akhir Argentina menentang Perancis di Stadium Lusail, Qatar, Ahad lalu. Sachin adalah peminat setia bintang Argentina, Lionel Messi, manakala Athira adalah penyokong Perancis. Pasangan itu memakai jersi nombor 10 dengan Athira menyarungkan jersi penyerang Perancis, Kylian Mbappe, manakala Sachin mewakili Messi.
Akhbar Malayala Manorama melaporkan, selepas majlis perkahwinan itu mereka pulang ke rumah Sachin di Thiruvananthapuram, kira-kira 206 kilometer dari lokasi majlis, untuk menyaksikan perlawanan akhir berkenaan. Argentina memenangi perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2, memberi peluang kepada maestro Messi berusia 35 tahun menjulang trofi Piala Dunia. Kerala, terkenal dengan ramai penyokong Messi, meraikan kemenangan sejak malam Ahad lalu. Mereka mengibarkan bendera Argentina dan menyalakan bunga api di seluruh negeri. Malah, seorang pemilik hotel di Thrissur turut mengotakan janjinya untuk menghidangkan briyani percuma, jika Argentina menang. Semangat kesukanan negeri itu menarik perhatian Fifa membuat ciapan di Twitter mengenai penyokong bola sepak yang membina patung kabod gergasi bintang bola sepak di negeri itu. Bintang Brazil, Neymar turut melihat patung itu serta menzahirkan terima kasih kepada peminatnya di negeri itu. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT