JOHOR BAHRU – Orang ramai di negeri ini keliru dengan kenyataan pihak berkuasa yang memaklumkan barangan keperluan seperti telur dan minyak peket bersubsidi telah pulih, sedangkan hakikatnya ia masih sukar diperoleh.
Rata-rata mereka memaklumkan, biarpun mencari di beberapa kedai, namun kedua-dua barangan keperluan itu tiada di rak kedai, kalau adapun dalam kuantiti sedikit. Seorang pengguna, Siti Maishara Supaid, 37, berkata, dia sendiri mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur dan minyak masak peket bersubsidi setiap kali ke kedai berhampiran rumahnya. Katanya, dia masih keliru dengan keadaan itu kerana sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan bekalannya telah pulih.
“Sukar untuk mendapat bekalan telur serta minyak peket khususnya di kawasan perumahan melibatkan kedai-kedai runcit atau pasar raya kecil. “Hanya selepas beberapa kali berkunjung ke kedai, baru jumpa. Realitinya ia masih sukar diperoleh,” katanya di sini semalam. Seorang lagi pengguna, Mohd. Badrull Hisyam Adam, 32, memberitahu, dia mengurangkan penggunaan telur ayam dalam menu harian keluarga kerana bekalan sukar diperoleh. “Sudah lama rasanya saya tidak membelinya, sebaliknya kini saya beli minyak masak botol untuk kegunaan harian,” ujarnya. Tinjauan yang dibuat di beberapa premis perniagaan di sini mendapati, bekalan kedua-dua barangan itu masih sukar diperoleh, terutamanya pada waktu petang dan malam. Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sentiasa membuat pemeriksaan bekalan barangan keperluan pengguna bagi memantau kedudukan bekalan serta kenaikan harga. Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, seramai 200 anggota penguat kuasa ditugas untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan supaya bekalan barangan keperluan harian mencukupi. “Kami ambil maklum aduan pengguna tentang bekalan serta kenaikan harga, khususnya melibatkan telur ayam dan minyak masak peket di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam dan pasar basah,” katanya. -CARI Sumber: Kosmo
|
limesherbet replied at 23-12-2022 10:04 AM
I kat selangor la yg limited ni
ADVERTISEMENT