Datuk Aishah menggesa pengacara Sherry Alhadad berhenti menyebarkan info tidak benar tentang pembedahan bariatrik yang didakwa sebagai jalan mudah menurunkan berat badan.
Aishah atau Aishah Wan Ariffin, 57, berkata, dia gembira melihat perubahan fizikal Sherry semakin kurus dipercayai mengambil produk pelangsingan badan. Bagaimanapun, pelantun lagu Janji Manis Mu ini kurang senang apabila Sherry memberi reaksi negatif terhadap individu yang melakukan pembedahan tersebut. "Adik Sherry Alhadad yang katanya telah kurus dengan menggunakan produk, Alhamdulillah akak tak mahu menghakimi asalkan awak rasa lebih sihat. "Namun, apa yang akak rasa tak sedap sikit bila awak kondem individu yang melakukan pembedahan bariatrik itu sengaja mahu cari jalan mudah," katanya.
Aishah berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Terdahulu, Sherry memuat naik sebuah video yang mengatakan dia tidak melakukan pembedahan bariatrik, sebaliknya mengamalkan produk yang membuatkannya berjaya menurunkan berat badan. Menurut penyanyi itu, pembedahan bariatrik adalah jalan akhir bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti melampau sehingga menganggu kesihatan. "Bila buat pembedahan ini, kadang-kadang ini sahaja jalan yang kami ada kerana sudah sampai tahap menganggu kesihatan. "Awak jangan pukul rata kerana ini bukan pembedahan kosmetik, tetapi satu rawatan medikal yang disarankan oleh doktor. "Sherry tolong jangan fitnah mengatakan ini hanyalah satu jalan mudah untuk kurus," jelasnya.
Dalam pada itu, Aishah turut berkongsi pengalamannya dan memberitahu dia juga sebenarnya takut untuk melakukan pembedahan berkenaan. Namun, disebabkan masalah kesihatan dan tidak mahu menyusahkan anak-anak, penyanyi itu mengambil keputusan untuk memilih jalan ini. "Saya pernah berjalan di atas treadmill sejauh lima kilometer setiap hari. Tetapi, dalam sebulan langsung tidak turun walaupun satu kilogram. Awak rasa saya nak putus asa tak? "Lutut saya jadi semakin sakit. Pada waktu itu saya tahu saya perlu melakukan sesuatu. Saya pun tidak mahu menyusahkan anak-anak apabila sakit nanti," katanya. Tambahnya lagi, pembedahan bariatrik bukan hanya dilakukan semata-mata untuk kelihatan cantik, tetapi lebih kepada mementingkan faktor kesihatan. "Pembedahan bariatrik bukan seperti pembedahan kosmetik yang orang lakukan untuk nampak cantik. Ya, mungkin selepas kurus kita lebih mudah untuk pakai baju menarik, tetapi itu sahaja orang lain nampak. "Selain daripada cantik, orang tak tahu berapa lama kita menanggung masalah ini. Buat apa nak cantik, saya dah tua pun. Saya lakukan semuanya atas faktor kesihatan," ujarnya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|