Guru sebuah taska swasta di wilayah Shizuoka disahkan melakukan penderaan fizikal dan lisan kepada anak jagaan mereka secara berulang kali. Datuk Bandar Susono, Harukaze Murata mengesahkan, tiga guru terbabit dalam 15 kes penderaan di taska, Sakura Hoikuen.
Katanya, mereka sedang mempertimbangkan untuk memfailkan aduan jenayah kerana disyaki melakukan serangan atau tingkah laku mengancam nyawa kanak-kanak. "Kami menganggap ini sebagai kes penderaan," katanya dalam satu sidang akhbar seperti dilaporkan portal The Japan Times. Difahamkan, pihak taska itu membuat semua kakitangannya menandatangani akuan bersumpah untuk tidak mendedahkan kejadian berlaku.
Tiga guru berusia 30-an dan 40-an itu adalah antara enam guru yang menjaga kelas kanak-kanak berusia setahun di taska itu. Murata berkata, guru terbabit juga dikesan menggoncang kanak-kanak secara terbalik, menanggalkan seluar secara paksa dan mengancam mereka dengan pisau dalam kejadian antara Jun hingga Ogos lalu. "Guru-guru itu mengaku melakukan perbuatan itu tetapi mereka mendakwa itu sebahagian cara untuk mendisiplinkan kanak-kanak itu," katanya. Kesemua guru diberikan amaran dan dipecat daripada taska manakala ketua mereka hanya mengalami pemotongan gaji. Kes itu terbongkar selepas pihak berkuasa tempatan menerima laporan pada pertengahan Ogos lalu. Mereka menyoal siasat ketua taska untuk menyiasat kejadian itu, tetapi berdiam diri mengenainya selama lebih tiga bulan. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT