Susulan dakwaan dicekik oleh Fezrul Khan ketika sedang menjalani penggambaran sebuah filem, pelakon Reen Rahim memberitahu dia sudah menghubungi aktor berkenaan bagi menunjukkan bukti video perbuatan kasar yang dilakukan.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, bagaimanapun kesal apabila Fezrul tidak mengakui kesilapan tersebut dan menganggap insiden itu sebagai sebahagian proses rakaman. "Saya kemudiannya ada mesej secara personal dan berikan video bukti menunjukkan saya memang benar-benar sakit dan bukannya ingin bersikap kurang ajar.
"Namun, dia masih tidak mengaku dan mengatakan perkara itu bukannya benar-benar berlaku. Saya sebenarnya mengharapkan selepas perbualan itu ada feedback positif daripada dia, tapi dah dia cakap macam tu, saya nak kata apa?" kepadanya kepada mStar.
Reen berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Daddyku Gangster yang diadakan di Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada malam Rabu. Insiden cekik itu berlaku ketika mereka sama-sama terlibat dalam penggambaran filem bertajuk Batu Syaitan. Dalam satu babak yang dilakokan, Fezrul dilihat merangkul Reen dan tindakan itu dikatakan berlebihan sehingga boleh mendatangkan kecederaan.
Mengakui kurang senang dengan apa yang terjadi, Reen secara tidak sengaja meninggikan suara sehingga menyebabkan berlakunya perselisihan faham antara mereka. "Sebenarnya sejurus selepas insiden itu saya memang ingin meminta maaf kepadanya, namun saya lihat pada waktu itu dia sedang dalam keadaan marah. "Ketika itu memang saya hampir lost dan habis sahaja babak itu saya ada terjerit kepadanya. Terkeluarlah perangai ‘rumah’ saya macam kita bergaduh dengan adik-beradik," jelasnya.
Sementara itu, Reen berkata dia sentiasa bersikap profesional dan tidak akan menolak sekiranya perlu bekerjasama lagi dengan Fezrul. "Kalau dia cakap tak mahu berlakon dengan saya lagi, apa yang boleh saya cakap? Tapi, saya okay sahaja sekiranya perlu bergandingannya dengannya nanti. "Saya juga tidak ada masalah untuk bersama-sama mempromosikan filem kami itu nanti," jelasnya.
Sebelum ini, Reen meluahkan rasa kesal kerana dicekik oleh seorang pelakon senior ketika menjalani penggambaran sebuah filem. Bagaimanapun, Fezrul menafikan dia mencekik Reen dan menegaskan untuk tidak lagi berlakon bersama aktres itu kerana baginya pelakon perlu berlakon dengan jujur bukan semata-mata untuk mengejar glamor. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|